Pengarah urusan, Ketua Berita BBC letak jawatan akibat sunting ucapan Trump

LONDON: Dua tokoh tertinggi British Broadcasting Corporation (BBC) meletakkan jawatan serta-merta selepas dokumentari terbitan mereka didapati menyunting ucapan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sehingga mencetuskan kemarahan Rumah Putih (White House).
Pengarah Urusan BBC, Tim Davie dan Ketua Eksekutif Bahagian Berita, Deborah Turness, mengumumkan pengunduran mereka susulan kontroversi dokumentari Panorama yang didakwa memotong dua bahagian penting dalam ucapan Trump.
Suntingan itu dikatakan memberi gambaran seolah-olah beliau menghasut serangan ke atas Capitol Hill pada Januari 2021.
Tindakan itu mencetuskan reaksi keras dari Washington, dengan Rumah Putih menuduh BBC sebagai ‘mesin propaganda’.
Trump sendiri menyambut baik peletakan jawatan tersebut, malah menyifatkan kedua-dua pemimpin BBC itu sebagai ‘sangat tidak jujur’.
Dalam kenyataan balasnya, Tim Davie mempertahankan reputasi BBC sebagai ‘standard emas kewartawanan dunia’, namun mengakui kesilapan telah berlaku dan memikul tanggungjawab sepenuhnya.
“Saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku. BBC harus kekal sebagai institusi yang dipercayai dan telus,” katanya.
Deborah Turness pula mengumumkan peletakan jawatannya menerusi e-mel kepada warga kerja BBC, sambil menafikan dakwaan bahawa organisasi itu berat sebelah secara institusi.
“Saya ingin tegaskan bahawa tuduhan BBC News bersifat berat sebelah secara institusi adalah tidak benar,” tulisnya.
BBC kini dijangka melantik pemimpin interim sementara siasatan dalaman dan semakan semula dasar editorial dijalankan bagi memulihkan kepercayaan awam terhadap organisasi penyiaran tertua dunia itu.



