SPR Umum PRK Kinabatangan, DUN Lamag 24 Januari 2026

Oleh: Aliyaa Azmi
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Januari 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu dibuat susulan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan selepas pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menurut beliau, hari penamaan calon ditetapkan pada 10 Januari 2026, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari 2026.
“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon pada 10 Januari sehingga pukul 11.59 malam, 23 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
SPR turut memaklumkan bahawa permohonan undi pos bagi semua kategori dibuka mulai 16 Disember 2025 dan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi portal SPR.
Tarikh tutup permohonan undi pos ditetapkan pada 8 Januari 2026 bagi Kategori 1A (petugas SPR, PDRM, ATM dan petugas media), manakala Kategori 1B (warganegara Malaysia di luar negara) dan Kategori 1C (agensi atau organisasi) masing-masing pada 6 Januari 2026.
“Bagi mengendalikan PRK berkenaan, seramai 1,106 petugas pilihan raya akan dilantik, melibatkan 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran mengundi serta satu pusat mengundi awal.
“Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi kedua-dua PRK akan berlangsung di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan dengan kos keseluruhan pelaksanaan dianggarkan berjumlah RM10 juta,” menurut kenyataan itu.
SPR turut memaklumkan seramai 48,722 pemilih layak mengundi berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan sehingga Oktober 2025.
Orang ramai boleh membuat semakan maklumat pengundian mulai 5 Januari 2026 menerusi portal MySPR Semak, aplikasi mudah alih atau talian hotline SPR.
PRK ini diadakan susulan pemergian Bung Moktar pada 5 Disember lalu akibat komplikasi kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.
Pada pilihan raya lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam saingan enam penjuru.



