Nasional

Perjanjian ART: Tengku Zafrul Beritahu Mahathir, Jangan Manipulasi Sentimen Bumiputera

KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menolak dakwaan bahawa syarikat Amerika Syarikat memperoleh ‘status Bumiputera’ melalui Perjanjian Perdagangan dan Pelaburan Amerika-Malaysia (ART), dengan menegaskan dakwaan tersebut tidak tepat dan tidak berpandukan fakta.

Zafrul yang baru sahaja menamatkan tugas sebagai Menteri MITI berkata, klausa yang sering dipetik, iaitu 6.2(1), tidak menyentuh definisi Bumiputera atau Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

“Klausa itu membabitkan Syarikat Milik atau Kawalan Kerajaan (SOE) yang menjalankan aktiviti komersial dengan prinsip antarabangsa yang sudah lama diamalkan dalam banyak perjanjian perdagangan.

“Klausa 6.2(1) menetapkan bahawa keputusan GLC harus dibuat atas pertimbangan komersial dan tidak mendiskriminasi pihak lain semata-mata atas dasar negara asal.

“Ia tidak menghapuskan dasar Bumiputera yang dijalankan melalui pendidikan, latihan, pembiayaan, pembangunan vendor, kuota perolehan kerajaan dan lesen,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menekankan bahawa pengecualian ‘except for the achievement of their public service obligations’ membolehkan agenda sosial termasuk program Bumiputera terus dijalankan melalui entiti seperti PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Rundingan ART bukan untuk kepentingan Amerika semata-mata, tetapi bertujuan melindungi kepentingan Malaysiatermasuk 1.1 juta pekerjaan yang terlibat dalam eksport bernilai hampir RM200 bilion setahun bagi mengelak tarif tinggi hingga 25 peratus yang berpotensi menjejaskan sektor E&E, getah, aeroangkasa dan farmaseutikal.

“Pilihan yang ada bukan antara baik dan buruk tetapi antara buruk dan lebih buruk.

“Tanpa ART, hampir semua eksport Malaysia ke AS berdepan risiko tarif yang tinggi. Dengan ART, kita mengunci 0 peratus tarif bagi 1,711 baris produk utama dan mengekalkan pekerjaan serta kontrak eksport yang menjadi sumber rezeki rakyat.

“Jangan menakutkan rakyat atau memanipulasi sentimen Bumiputera dan kedaulatan, kerana teks perjanjian, undang-undang dan realiti ekonomi menunjukkan gambaran yang lebih seimbang,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button