GPRCFMY 2025: Malaysia Jadi Tumpuan Dunia Komunikasi, Etika Dan Teknologi

KUALA LUMPUR: Lebih 500 pengamal komunikasi, media, pembuat dasar dan akademik dari seluruh dunia berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Hari Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global 2025 (GPRCFMY), yang dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Majlis gilang-gemilang itu turut disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia, Datuk P. Kamalanathan.
Bertemakan ‘Kemanusiaan Diperkasa: Mentakrifkan Semula Perhubungan Awam dalam Era Kepintaran’, Sultan Nazrin bertitah, teknologi dan etika mesti bergerak seiring, bukan sekadar untuk berkomunikasi tetapi untuk menyentuh hati dan membina keyakinan masyarakat.
“Etika dan teknologi boleh bergerak seiring bukan sekadar untuk berkomunikasi tetapi untuk menyentuh hati dan membina keyakinan masyarakat,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa di tengah kemajuan AI, peranan manusia tetap menjadi nadi utama komunikasi.
“Dalam dunia di mana kecerdasan buatan mempercepatkan penyebaran maklumat dan salah maklumat, para pengamal komunikasi kini memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan kebenaran, memperkukuh kefahaman dan memastikan teknologi terus memajukan kepentingan kemanusiaan,” titah baginda.
Hari pertama GPRCFMY dipenuhi sesi plenari dan dialog yang menekankan strategi komunikasi berteraskan kejujuran, empati dan tanggungjawab sosial.
Fahmi Fadzil dalam ucapannya menyatakan dunia komunikasi kini berada di persimpangan penting.
“Ketika teknologi membentuk cara masyarakat berhubung dan memahami dunia, kita mesti memastikan inovasi datang bersama integriti.
“Setiap mesej perlu memaklumkan, bukan mengelirukan, memperkasakan, bukan memecahbelahkan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen Malaysia terhadap komunikasi telus dan beretika termasuk melalui penubuhan Majlis Media Malaysia di bawah Akta Majlis Media 2025 serta pengenalan Garis Panduan AI untuk sektor media dan perhubungan awam.
Antara sesi yang mencuri perhatian ialah pembentangan Khairy Jamaluddin bertajuk ‘Faktor Kepercayaan: Memimpin dengan Integriti dan Inovasi’, di mana beliau berkongsi pengalaman dalam bidang kesihatan dan inovasi.
“Kepercayaan bukan dibina melalui kata-kata semata-mata tetapi melalui kejujuran dan konsistensi dalam tindakan,” kata beliau.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula mengetengahkan isu etika dalam penggunaan AI, manakala sesi ‘Wanita Dalam Media’ menyorot peranan wanita dalam membentuk naratif dan harapan masyarakat.
Datuk P. Kamalanathan turut meluahkan rasa bangga terhadap semangat yang terpancar sepanjang persidangan.
“Perhubungan awam bukan sekadar menyampaikan mesej. Ia tentang memahami manusia.
“Bila kita berkomunikasi dengan hati, kita bukan sekadar memberi maklumat, kita menyatukan, menginspirasi dan membina legasi yang kekal,” katanya.
Persidangan selama tiga hari itu dijangka terus membincangkan bagaimana naluri kemanusiaan dan kecerdasan teknologi boleh saling melengkapi demi masa depan komunikasi yang lebih beretika, bertanggungjawab dan berjiwa.



