Nasional

Tengku Zafrul Nafi ART Halang Perjanjian Dagang Malaysia

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) akan menghalang Malaysia daripada memeterai perjanjian perdagangan dengan negara lain.

Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan jauh tersasar, sambil menegaskan bahawa Malaysia kekal bebas untuk meneruskan rundingan perdagangan bebas dengan mana-mana rakan dagang.

“Tuduhan liar kononnya ART menghalang Malaysia mengadakan perjanjian perdagangan dengan negara lain adalah tidak betul.

“Malaysia kekal bebas memperkukuh hubungan dagang dengan semua rakan strategik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Zafrul turut memaklumkan bahawa Pusingan Kedua rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Kesatuan Eropah (MEUFTA) akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 21 November ini.

“Rundingan MEUFTA ini tiada kaitan langsung dengan ART.

“Kedua-duanya adalah proses berasingan,” katanya lagi.

Kesatuan Eropah kekal sebagai antara rakan pelaburan utama Malaysia dengan jumlah pelaburan kumulatif dalam sektor pembuatan mencecah RM219.4 bilion sehingga Jun 2025.

“Pusingan kedua MEUFTA merupakan peluang mempercepat kerjasama dalam sektor strategik seperti tenaga hijau, teknologi canggih dan e-mobiliti,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button