
PARLIMEN | Kerajaan komited memperkukuh keselamatan dalam talian khususnya melibatkan golongan kanak-kanak, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang digubal tahun lalu bagi menyediakan persekitaran digital lebih selamat.
Menurutnya, kerajaan kini meneliti mekanisme bagi menghadkan akses media sosial kepada pengguna berusia bawah 16 tahun berikutan peningkatan kes jenayah siber yang melibatkan kanak-kanak.
“Antara cabaran utama ialah penyalahgunaan akaun palsu yang memperdaya orang ramai atas nama selebriti atau pakar bagi tujuan penipuan dan pelaburan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Fahmi menjelaskan, usaha melindungi kanak-kanak turut melibatkan pelaksanaan proses Electronic Know Your Customer (eKYC) menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.
Katanya, pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa agensi kerajaan akan ke Singapura minggu depan bagi berbincang dengan wakil Meta, Google, TikTok dan X mengenai pelaksanaan mekanisme eKYC dengan selamat.
“Yang penting, kita mahu pastikan data rakyat dilindungi selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi, tanpa sebarang ketirisan,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan oleh ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan di Dewan Rakyat pada Selasa.



