Nasional

ULASAN | ASEAN Summit 2025: Kehadiran Trump dan Kebijaksanaan Malaysia Di Pentas Dunia

Oleh: Datuk Dr Suhaimi Ibrahim

MINGGU ini, Kuala Lumpur kembali menjadi pusat tumpuan dunia apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak 47th ASEAN Summit (26–28 Oktober 2025).

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sahaja memikul tanggungjawab negara, malah memacu agenda serantau, mengemudi haluan diplomasi global dalam suasana geopolitik yang semakin mencabar.

Namun yang paling menarik perhatian ialah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam sidang kali ini – satu peristiwa bersejarah yang membuka ruang diplomasi besar buat Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Kehadiran beliau adalah isyarat bahawa Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik penting dalam keseimbangan kuasa antara Amerika Syarikat, China dan Dunia Islam.

Sidang kemuncak kali ini akan menumpukan kepada isu-isu utama seperti Perdagangan Bebas, Keselamatan Serantau, Ekonomi Digital dan Kerjasama tenaga baharu.

Dalam konteks ini, kehadiran Trump memberi impak, dimensi strategik tersendiri dan Malaysia menjadi titik tengah diplomasi kuasa besar, di mana suara ASEAN akan bergema di hadapan Washington dan Beijing.

Selain Trump, Malaysia turut mengundang beberapa pemimpin dunia berprofil tinggi ke sidang kemuncak ini. Antaranya:

Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva Brazil; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Presiden China, Xi Jinping; dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni (Itali).

Dengan kehadiran tokoh-tokoh sebegini, Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dijangka menjadi salah satu yang terbesar dan paling berprofil tinggi dalam sejarah Malaysia dan ASEAN.

Antara fokus utama yang dijangka dibangkitkan secara terus kepada Presiden Donald Trump oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ialah isu kemanusiaan di Gaza – isu yang tidak pernah lekang daripada pendirian Malaysia.

Walaupun dunia masih berbelah bagi terhadap pendekatan Washington terhadap konflik Palestin,  Datuk Seri Anwar melihat diplomasi inklusif dan keberanian moral sebagai jalan terbaik untuk mengembalikan suara keadilan ke Pentas Global dan Sejagat.

Trump pula dikenali dengan gaya diplomasi tidak konvensional termasuk cubaan beliau mendamaikan Timur Tengah menerusi pendekatan pragmatik.

Maka, pertemuan antara dua pemimpin ini bakal membuka ruang Dialog yang lebih luas dan terbuka terkait isu Perdagangan dan Kemanusiaan berjalan seiring, sepertimana prinsip Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara kemajuan dan keinsanan.

Namun, kehadiran kuasa besar seperti Amerika Syarikat bukanlah tanpa sebarang risiko. Gaya diplomasi Trump yang keras dan berpusat pada kepentingan nasional Amerika kadangkala berlawanan dengan pendekatan ASEAN yang berteraskan muafakat, perseimbangan dan keadilan sejagat.

Justeru, dengan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar, Malaysia mampu menangani dengan cermat, berhikmah dan matang dalam mengurus dinamika ini.

Bagi Malaysia, cabaran terbesar ialah memastikan ASEAN tidak menjadi bidak dalam percaturan kuasa besar – sebaliknya ia perlu dilihat sebagai blok yang matang dan berpendirian sebagaimana prinsip ASEAN iaitu Bebas, Aman dan Berkecuali (ZOFPAN). 

Dalam hal ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pendekatan Diplomasi Nilai (Value-Based Diplomacy) – berpaksikan Prinsip Keadilan, Kemanusiaan dan Integriti dalam hubungan antarabangsa.

Walaupun ramai melihat sidang kemuncak ini sebagai peristiwa elit diplomasi, impaknya sangat besar kepada rakyat Malaysia dan ASEAN.

Rundingan yang berjaya mampu membuka peluang pekerjaan, pelaburan asing bernilai tinggi, kestabilan harga dan pasaran eksport yang lebih luas.

Lebih penting, kestabilan rantau ini memberi jaminan kepada ekonomi domestik dan kesejahteraan rakyat – inilah diplomasi yang berakar pada kepentingan sebenar negara.

Terakhirnya, Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dengan kehadiran Donald Trump dan pemimpin dunia lain bukan sahaja catatan sejarah diplomatik.

Ia adalah ujian dan peluang keemasan bagi Malaysia untuk menunjukkan bahawa negara kita bukan hanya menjadi pentadbir bagi rantau ASEAN, tetapi jambatan diplomasi dalam dunia serba cekap dan berpengaruh.

Di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya yakin Malaysia akan menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk kepentingan rakyat dan kestabilan serantau.

** Penulis ialah Ketua Penerangan PKR Pahang

Related Articles

Back to top button