Nasional

Had Umur 16 Tahun Akses Media Sosial: ‘Langkah Wajar Lindungi Remaja’ – Pensyarah

PETALING JAYA: Cadangan menaikkan had umur pendaftaran media sosial kepada 16 tahun disifatkan sebagai langkah pencegahan yang tepat dalam usaha melindungi remaja daripada pengaruh negatif dunia maya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr Muhammad Zaiamri Zainal Abidin berkata, peningkatan kes buli, pergaduhan dan penyebaran video tidak bermoral melibatkan pelajar sekolah menunjukkan keperluan mendesak untuk kawalan lebih ketat terhadap akses media sosial.

“Remaja berusia 13 hingga 14 tahun masih berada pada fasa pembentukan identiti dan kawalan emosi.

“Akses bebas kepada media sosial tanpa bimbingan boleh mendedahkan mereka kepada tekanan rakan sebaya dan kandungan ekstrem,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Beliau turut merujuk insiden tragis melibatkan seorang pelajar berusia 16 tahun yang terbunuh di sebuah sekolah di Selangor baru-baru ini, yang dipercayai berpunca daripada pengaruh media sosial.

Katanya, kejadian itu menjadi bukti nyata bagaimana dunia digital mampu mencetuskan tragedi di alam sebenar.

Menurut Dr Muhammad Zaiamri, kenaikan had umur perlu dilaksanakan seiring dengan pendidikan literasi media di sekolah agar pelajar dapat memahami kesan perkongsian digital, menilai kandungan secara kritis dan membina empati sosial.

“Had umur semata-mata tidak mencukupi. Sekolah dan ibu bapa mesti bersama memperkukuh pemantauan serta bekerjasama dengan platform media sosial untuk memastikan kawalan umur benar-benar berfungsi,” katanya.

Beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai bentuk pencegahan struktur yang penting untuk mengurangkan pendedahan awal kepada risiko media sosial, sekali gus mengekang peningkatan kes disiplin yang berpunca daripada pengaruh maya.

Cadangan menaikkan had umur kepada 16 tahun kini sedang diperhalusi kerajaan susulan kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan insiden melibatkan pelajar sekolah yang dikaitkan dengan aktiviti dalam talian.

Related Articles

Back to top button