Titah Adendum: Anwar Seru Semua Pihak Hormati Proses Perundangan

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI menegaskan komitmen berterusan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang dan pengasingan kuasa, susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan pada Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, badan kehakiman mesti kekal bebas daripada sebarang pengaruh luar dan prinsip tersebut menjadi asas kepada penghormatan kerajaan terhadap keputusan yang dibuat hakim.
“Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, semua pihak wajar menghormati keputusan mahkamah termasuk menggunakan ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, saluran tersebut merangkumi hak mengemukakan rayuan di mahkamah selain memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan lunas Perlembagaan dan undang-undang negara.
Pada masa sama, Perdana Menteri menyeru agar isu itu ditangani dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan tanpa menambah ketegangan dalam suasana yang sensitif.
“Sekalipun ada pihak memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk menambah ketegangan dalam suasana yang sensitif ini,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa Titah Adendum tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.



