Nasional

Tubuh petugas khas tangani isu rakyat tanpa dokumen pengenalan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Sarawak telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menangani isu rakyat tanpa dokumen pengenalan diri di negeri itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan itu dibahagikan kepada jawatankuasa induk yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

Beliau berkata, jawatankuasa induk akan menentukan soal dasar berkaitan isu dokumen pengenalan diri rakyat, manakala jawatankuasa teknikal akan membuat keputusan berhubung mekanisme dan kaedah untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan, beliau berkata berdasarkan perangkaan dari Jabatan Premier Sarawak, sejumlah 9,314 penduduk di negeri ini dikenal pasti tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Kerajaan Sarawak ada pangkalan data yang memudahkan KDN untuk mengenal pasti kedudukan individu ini, dan sebagai permulaan ia memudahkan pasukan petugas khas ke lokasi tertentu untuk menyelesaikan isu yang timbul,” katanya.

Saifuddin berkata di bawah inisiatif untuk menangani isu ini, ia akan bersifat khidmat bantuan, dengan agensi-agensi yang terlibat dalam pasukan petugas khas ini akan turun padang, tanpa memerlukan individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri tampil untuk memohon.

Pada majlis itu beliau menyerahkan sejumlah 62 Surat Keputusan Kewarganegaraan Malaysia kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Inisiatif ini adalah hasil kerjasama antara KDN dan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang diterajui oleh menterinya Fatimah Abdullah,” katanya.

Beliau berkata di bawah perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Persekutuan boleh, dalam sesuatu hal keadaan khas mengarahkan seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara. – Bernama

Related Articles

Back to top button