Hubungan negeri- persekutuan mesti baik agar pembangunan dapat dibawa, kata bekas MB Kedah
Pengundi di negeri Kedah digesa memilih pemimpin negeri yang mampu mentadbir dan menguruskan negeri dengan efektif .
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menekankan keperluan menubuhkan sebuah kerajaan negeri mampu menguruskan pembangunan ekonomi negeri dengan baik dan rakyat Kedah ketika ini sangat memerlukan ekonomi yang kukuh.
“Sebab itu tuan-tuan dan puan-puan kita kena fikir, ini (pemerintahan negeri) bukan untuk watak populis, bukan mahu popular.
“Kita nak jadi kerajaan, tak penting popular. Yang pentingnya boleh menguruskan negeri ini. Yang paling penting adalah bagaimana mengurus untuk rakyat dapat ekonomi yang baik,” kata bekas Menteri Besar itu.
Mahdzir berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Pakatan Harapan-Barisan Nasional,di Alor Setar pada malam Ahad.
Dalam ucapannya juga beliau menekankan kemajuan negeri bergantung kepada hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Tambah beliau, pertikaian kerap dan tindakan pemimpin negeri yang sentiasa mencari masalah dengan pemimpin di peringkat Persekutuan dikhuatiri menghalang sebarang kemajuan dalam projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.