Kertas Putih Gaji Progresif bakal dibentangkan ke sidang khas Parlimen
Kertas Putih berhubung pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan dalam sidang khas Parlimen bulan depan, maklum Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Melalui satu ciapan di Twitter, Rafizi berkata, beliau telah membentangkan kertas Dasar Gaji Progresif kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Isnin untuk kelulusan yang dilihat menjadi dasar pasaran buruh yang mampu menaikkan gaji pekerja secara sistematik.
“Sesi libat urus dan tinjauan awal menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif,” katanya.
Pada masa sama, Rafizi berkata, tujuan Dasar Gaji Progresif adalah jelas setelah Jabatan Perangkaan Malaysia pada minggu lalu melaporkan data gaji pekerja yang sangat membimbangkan.
“Lebih dua juta pekerja bergaji kurang daripada RM2,000. Gaji penengah di sembilan negeri tidak melebihi RM2,000. Isu gaji ini berlarutan selama berdekad-dekad. Satu perubahan yang drastik sangat diperlukan.
“Insya-Allah dengan Dasar Gaji Progresif, kita boleh mengambil langkah pertama untuk mereformasikan struktur gaji rakyat yang akan menaiktaraf kehidupan rakyat Malaysia,” kata Timbalan Presiden KEADILAN itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan semalam berkata, Dasar Gaji Progresif yang merupakan satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten di samping pengagihan lebih seimbang adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Dasar ini adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Anwar berkata, langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja dan akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat.