Semasa

Skim Perubatan Madani diperluas ke 11 daerah – Dr Zaliha

Kerajaan akan memperluas Skim Perubatan Madani ke 11 daerah sebagai salah satu inisiatif Bitara Madani bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan Kerajaan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, selaras komited dalam menyediakan dan menambahbaik penjagaan kesihatan berkualiti secara holistik dan mampan, pelaksanaannya disasarkan bermula pada minggu kedua Ogos di empat daerah iaitu Kota Setar dan Kuala Muda di Kedah selain Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Terengganu.

“Seterusnya, daerah-daerah lain seperti Kota Bharu dan Pasir Mas di Kelantan selain Kuantan, Pahang; Melaka Tengah, Melaka; Seberang Perai, Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan dan Perlis yang akan bermula pada minggu keempat Ogos, ” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Sikijang itu menambah, skim tersebut yang ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat dengan menampung kos rawatan kes-kes akut.

“Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan di klinik perubatan swasta umum.

“Skim ini dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta peruntukan bagi setiap isi rumah untuk separuh tahun kedua 2023 adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga,” jelasnya.

Melalui skim tersebut juga warga emas tanpa pasangan diperuntukkan kredit RM125 dan RM75 bagi kategori bujang dengan mereka yang layak hanya perlu membawa MyKad ke klinik panel Skim Perubatan Madani untuk menerima rawatan akut percuma di klinik perubatan swasta umum.

“Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengalu-alukan klinik perubatan swasta umum (GP) di daerah terlibat untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani bermula hari ini.

“Mereka boleh melayari laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525 untuk mendaftar,” katanya.

Related Articles

Back to top button