Negeri

Aminuddin angkat sumpah MB, lantik Exco dalam masa terdekat

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu akan dilantik dalam masa terdekat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu berkata demikian kepada pemberita selepas elesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, bagi penggal kedua petang semalam.

Menurut Aminuddin, perbincangan berkenaan pelantikan Exco akan dimulakan esok termasuk perkara berkaitan pembahagian jawatan mengikut parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pihaknya juga menyerahkan kepada parti masing-masing untuk melantik sama ada muka baharu atau lama yang akan dicadangkan bagi memegang jawatan sebagai Exco di negeri ini.

“Pastikan saya perlu gandingan baharu dan lama bagi memastikan kelangsungan penerusan tugasan-tugasan dan berdasarkan perlembagaan kita, jumlah Exco yang dilantin adalah dari empat hingga maksimum 10 orang.

“Saya cuba yang terbaik, secepat mungkin. Kalau tak ada halangan dan mendapat kelulusan di peringkat pucuk pimpinan parti masing-masing. Di peringkat parti masing-masing harus berbincang, bersetuju supaya tidak ada perkara-perkara (timbul) kemudian,” katanya.

Sementara itu jelas Aminuddin lagi, beliau akan melantik maksimum 10 wakil rakyat sebagai Exco bagi portfolio tertentu dan setiap Exco hanya mendapat elaun sebagai Exco tanpa mengira berapa banyak portfolio yang dipertanggungjawab.

“Bilangan Exco tu kita tak boleh tambah sebab dalam perlembagaan maksimum 10 orang. 10 ke 20 portfolio, elaun dia sama,” katanya.

Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini kira-kira jam 4.15 petang.

Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Related Articles

Back to top button