Dasar pendidikan tinggi ditambah baik, jayakan kerangka Ekonomi MADANI
Kerajaan Perpaduan bakal menambah baik dan menyelaras semula dasar pendidikan tinggi sedia ada, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Jelasnya, ia termasuk memastikan dasar itu memberi tumpuan kepada soal penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, menggalakkan pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti kepada masyarakat serta pengantarabangsaan sektor pendidikan bagi memastikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dapat memainkan peranannya sebagai “faktor kritikal” dalam menjayakan kerangka Ekonomi MADANI.
Aspek penyediaan bakat, tambahnya menjadi tanggungjawab utama untuk kementerian melatih dan melahirkan seramai mungkin bakat terbaik untuk negara, sama ada berpendidikan atau berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pelabur dan masyarakat yang mahukan pekerjaan baik serta gaji lebih tinggi.
“Soal penyelidikan dan inovasi pula, kita harus memastikan bahawa ekonomi adalah berasaskan penyelidikan yang melahirkan pengetahuan dan inovasi. Ini tidak boleh dielakkan dalam usaha kita hendak meletakkan Malaysia dalam kedudukan ekonomi serantau dan global.
“Selain itu, pemindahan dan perkongsian ilmu daripada univerisiti kepada masyarakat juga penting kerana kita dapati banyak ilmu yang boleh diterokai untuk mengupayakan masyarakat bagi mengatasi isu kemiskinan dan sebagainya,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjadi tetamu program Naratif Khas Ekonomi MADANI Pendidikan Tinggi yang disiarkan secara langsung di TV1 baru-baru ini.
Ekonomi MADANI, kerangka ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia, akan membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengumuman ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, dalam menjayakan kerangka ekonomi tersebut, hubungan universiti dengan masyarakat tidak boleh lagi berkisar kepada soal libat urus sahaja, sebaliknya harus bersedia bekerjasama dalam mewujudkan program bimbingan yang berterusan, bagi meningkatkan status dan kualiti ekonomi, sosial masyarakat.