Kerajaan Perpaduan akan terus salur bantuan ke negeri dikuasai pembangkang – Fahmi Fadzil
Semua bantuan dan projek yang diumumkan kerajaan Perpaduan kepada negeri dikuasai pembangkang akan diteruskan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata, kerajaan juga dari masa ke semasa akan membuat penelitian berkait projak dan bantuan lain yang boleh disalurkan selari tekad kerajaan menjayakan konsep Malaysia Madani.
“Bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), usaha kami termasuk di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mewujudkan satu Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), kita akan teruskan dan ia tidak menjadi masalah.
“Saya percaya, kalau apa yang pernah disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), memang kita akan teliti kerana kita juga mahukan hubungan yang baik, rapatkan silaturahim dan kukuhkan ukhwah di antara kerajaan negeri dan Pusat.
“Jadi kita akan teliti mengenai perkara ini dari masa ke semasa,” katanya.
Ketua Penerangan parti KEADILAN itu ditemui pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia (CyberDSA), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau sebelumnya diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu membuka lembaran baharu antara Kedah dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan kesejahteraan di negeri itu.