Amanah Saham Rahmah dikaji, bantu miskin tegar – KPDN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji untuk mewujudkan inisiatif Amanah Saham Rahmah bagi membantu keluarga miskin tegar di negara ini.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata inisiatif tersebut diharap dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup sekali gus memberi pendapatan berterusan kepada golongan itu.
Menurutnya, menerusi amanah berkenaan sejumlah wang akan dilaburkan oleh kerajaan di bawah syarikat tertentu dan dividen daripada pelaburan itu akan diberikan kepada keluarga yang memerlukan, manakala wang pokok yang dilaburkan itu, tetap milik kerajaan.
“Kita sedang mengkaji mekanisme terbaik untuk melaksanakan Amanah Saham Rahmah dan bagaimana kita boleh meletakkan satu kumpulan wang yang terkumpul untuk kita laburkan di dalam satu akaun.
“Contohnya di bawah Permodalan Nasional Berhad, kerajaan akan meletakkan RM100,000 untuk keluarga itu, tetapi wang pokok itu akan tetap jadi milik kerajaan, manakala dividen diberikan kepada keluarga miskin tegar berkenaan.
“Jadi secara prinsipnya, duit berkenaan merupakan duit dan hak kerajaan.Tidak boleh hilang. Tetapi boleh diberikan kepada keluarga miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada Program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia, hari ini.