Sistem pertahanan siber negara akan diperkukuh – Adly Zahari
Kementerian Pertahanan akan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dalam usaha meningkatkan sistem pertahanan siber negara.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, antara langkah yang bakal dijalankan melalui kerjasama itu adalah bagi merangka struktur baharu Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dalam meningkatkan keupayaan sistem pertahanan siber negara.
“Kertas Putih Pertahanan juga menggariskan keperluan organisasi yang berdedikasi untuk mengendalikan domain siber menerusi kerjasama Kementerian Pertahanan dengan organisasi lain.
“Ia bagi mewujudkan struktur pertahanan dan bahagian elektromagnetik, sekali gus penyediaan kepada anggota pertahanan di negara ini setanding dengan organisasi pertahanan siber di rantau ini dan seluruh dunia,” jelasnya.
Adly turut menegaskan, ada keperluan bagi meningkatkan pertahanan siber negara ketika ini, demi memastikan keselamatan negara terus utuh.
“Pada zaman teknologi tanpa sempadan, bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things, dan blockchain memberi cabaran kepada negara untuk melindungi maklumat penting.
“Saya berharap platform ini akan menyokong dalam membolehkan kerjasama komprehensif dan inklusif antara sektor, malah idealnya menyumbang kepada konsep pertahanan komprehensif, salah satu tonggak strategik Strategi Pertahanan Malaysia,” tambah bekas Ketua Menteri Melaka itu.