Negeri

Nahas Elmina: Speaker DUN Pahang sahkan seorang Exco terkorban

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin mengesahkan seorang wakil rakyat dari negeri itu maut dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam petang semalam.

Mohd Sharkar dalam satu hantaran di Facebooknya memaklumkan ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun berada dalam pesawat malang itu ketika kejadian.

Johari Harun juga merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang.

“Berita yang menyedihkan, Johari Harun, Exco Kerajaan Pahang, Ketua UMNO Bentong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai telah kembali ke rahmatullah.

“Terlibat dalam pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Turut mengesahkan berita sedih itu adalah Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

“Amat mendukacitakan apabila melibatkan seorang kawan saya, Allahyarham YB (Yang Berhormat) Dato’ Sri Johari Harun, Exco Pahang yang juga ADUN Pelangai di bawah Parlimen Bentong,”ciapnya di Twitter.

Young Syefura berkata, beliau amat sedih dengan berita tersebut dan kali terakhir berjumpa adalah dua hari lepas.

“Saya amat bersedih dengan kehilangan ini. Baru sahaja dua hari lepas, saya bersama Allahyarham Dato’ Sri Jo berbincang berkenaan pembangunan di Bentong dan Pelangai yang akan direncanakan kelak. AlFatihah,”tulisnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan berkata, pesawat tersebut sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.40 petang bagaimanapun dipercayai hilang kawalan sebelum terhempas.

Related Articles

Back to top button