Semasa

Pesawat N28JV melencong ke kiri, tiada panggilan ‘Mayday’

Pesawat peribadi N28JV yang terhempas di kawasan Elmina, Denai Alam petang semalam dikesan melencong ke kanan dari laluan asal sebelum terhempas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu sidang media berkata, tiada sebarang panggilan ‘mayday’ daripada juruterbang sebelum insiden berlaku.

“Tiada ‘mayday call’ daripada juruterbang pesawat. Berdasarkan pengamatan awal, pesawat berkenaan didapati melencong ke sebelah kanan daripada laluan pendaratan.

“Pesawat telah menerima kebenaran untuk mendarat namun tiga minit selepas itu menara kawalan (Lapangan Terbang Subang), melihat kepulan asap dari lokasi nahas,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada petang, Khamis.

Dalam kejadian petang semalam 10 individu disahkan terkorban, termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dan dua individu belum dikenalpasti yang berada di kawasan kejadian.

Mangsa lain yang dikenal pasti berdasarkan kertas ‘General Declaration’ adalah Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki, Idris Abdol Talib @Ramali termasuk dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim

“Pun begitu senarai nama ini hanya berdasarkan dokumen penerbangan, pengesahan rasmi identiti mangsa nahas hanya akan diumumkan selepas bedah siasat yang dijalankan di Hospital Ampuan Rahimah, Klang,” katanya sambil meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan panggilan pertama yang dibuat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada 2.47 petang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan syarikat pengendali pesawat terhempas, Jet Valet Sdn Bhd disahkan berdaftar dan memiliki lesen penerbangan.

Juruterbang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terbabit juga disahkan mempunyai pengalaman luas.

Related Articles

Back to top button