Semasa

KPDN tempatkan 14 mesin retort di seluruh negara

Sebanyak 14 mesin pembungkusan makanan secara retort telah ditempatkan di lokasi melibatkan sektor perhotelan, katering dan pertanian di seluruh negara, setakat 31 Julai lepas.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh dalam kenyataan sempena majlis perasmian Bilik Pameran SnapGo sebagai Rakan Strategik Utama Food Bank Malaysia semalam.

Menurutnya, inisiatif bersama SnapGo Technologies itu adalah sebahagian usaha menghasilkan produk makanan retort yang berkualiti yang akhirnya dapat membantu golongan sasar yang memerlukan.

Sehingga kini tambahnya terdapat 48 penyumbang yang aktif membantu menggerakkan Program Food Bank Malaysia di seluruh negara termasuk pasar raya dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Produk ini mampu bertahan bagi tempoh 18 hingga 24 bulan serta boleh disimpan dalam suhu bilik tanpa perubahan rasa, rupa dan nutriennya,” katanya

Beliau turut memaklumkan hingga 31 Julai lepas, seramai 82,488 mahasiswa mendapat manfaat daripada Program Food Bank Siswa yang digerakkan di 30 institusi pengajian tinggi.

Produk itu juga jelasnya sesuai bagi semua keadaan terutama dalam usaha memberi bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan pada waktu kecemasan serta semasa bencana.

“Menerusi pengagihan produk makanan retort yang bersifat sedia untuk dimakan itu, mangsa banjir akan mendapat bekalan makanan terlebih dahulu sementara menunggu bantuan lain tiba,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button