Malaysia mampu mendepani risiko pertumbuhan perlahan ekonomi China – Gabenor BNM
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour yakin Malaysia mampu mendepani risiko daripada pertumbuhan perlahan ekonomi China.
Bercakap kepada pemberita dalam satu program di Kuala Lumpur baru-baru ini, Abdul Rasheed berkata, keyakinan itu susulan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada hanya satu rakan dagang atau industri tertentu,idak terlalu bergantung kepada hanya satu rakan dagang atau industri tertentu.
“Meskipun pembukaan semula China masih terus menyokong ekonomi global, kita menyedari bahawa kadar pemulihannya perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Bagaimanapun, Malaysia memiliki kepelbagaian ekonomi dari segi produk dan rakan dagang, justeru ia mampu menampung impak daripada pertumbuhan perlahan ekonomi China,” katanya .
China adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, namun negara itu hanya menyumbang 13.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Sementara itu jelas Abdul Rasheed, secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi global adalah perlahan tahun ini, disebabkan terutamanya oleh peningkatan tekanan kos, kadar faedah tinggi serta kadar barangan yang lebih lemah.
“Pertumbuhan global dijangka berada di bawah purata jangka panjang tetapi kami tidak menjangkakan kemelesetan mutlak,” kata Abdul Rasheed.
Sementara itu katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia terus disokong oleh daya tahan permintaan domestik dan keadaan pasaran buruh yang kukuh.
Menurutnya, lebihan akaun semasa, rizab yang mencukupi dan kadar pertukaran akan membantu Malaysia menyerap kejutan luaran.
Beliau berkata pada Separuh Kedua 2023, pertumbuhan KDNK negara perlu berada pada purata 3.7 peratus untuk Malaysia mencapai pertumbuhan 4.0 peratus tahun ini.