KPM sedang perincikan jenis sukan untuk silibus Sekolah Sukan Pendidikan Khas
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperincikan jenis sukan yang sesuai dengan silibus di Sekolah Sukan Pendidikan Khas (SSPK) yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2025.
Menteri Pendidikan, Fahdlina Sidek berkata sekolah yang bakal dibina di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan itu memerlukan perancangan rapi sesuai dengan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), seterusnya membantu membangunkan potensi sukan pelajar terbabit.
“Insya-Allah pada tahun 2025 kita akan mengoperasikan sebuah sekolah sukan untuk mereka yang akan membangunkan potensi sukan, supaya mereka juga mendapat tumpuan dalam soal pembangunan sukan.
“Pembinaan sekolah sukan pendidikan khas yang pertama itu merupakan salah satu usaha meningkatan potensi kanak-kanak istimewa dalam bidang sukan.
“Ketika ini, KPM telah mempunyai 34 sekolah pendidikan khas di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Madani Murid Berkeperluan Khas negeri Johor, hari ini.
Menurutnya, semua inisiatif yang dilaksanakan KPM untuk murid berkeperluan khas ini adalah bagi meningkatkan kemahiran golongan tersebut selain daripada pendidikan.
“KPM bersama pelbagai agensi sedang meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk murid berkeperluan khas ini, dan berharap lebih ramai pemain industri bersama-sama untuk memastikan bagaimana potensi murid dapat digarap dalam konteks TVET,” katanya.