Negeri

Cakna keperluan rakyat: K’jaan Perak naikkan had kelayakan miliki rumah kos rendah

Kerajaan Negeri Perak menaikkan had kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembeli rumah kos rendah daripada RM3,860 kepada RM5,000 sebulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis penyerahan kunci projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang di Sitiawan pada Isnin berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai rakyat di negeri itu memiliki kediaman sendiri.

“Perubahan kelayakan ini dapat meningkatkan bilangan kumpulan yang layak memohon selain memberi lebih banyak keluarga memiliki rumah mampu milik,” katanya sambil menjelaskan cadangan itu akan dibawa Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk diluluskan di peringkat exco dalam masa terdekat.

Menurut Saarani, jangkaan peratusan kenaikan permohonan berikutan kenaikan had kelayakan pendapatan itu belum ada kerana ia masih di peringkat kertas kerja.

Namun Perak jelasnya mempunyai tanah yang luas untuk membangunkan rumah kos rendah.

“Kita akan mengguna pakai tanah sedia ada bagi tujuan membangunkan rumah kos rendah demi memenuhi keperluan rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Saarani mengumumkan inisiatif baharu kerajaan negeri menerusi Skim Sewa Perak Sejahtera yang menawarkan rumah-rumah sewa dengan kadar sewa lebih rendah daripada pasaran.

Katanya, pelaksanaan program tersebut dimulakan dengan 12 unit rumah mampu milik di Taman Perakku Serdang .

“Harga sewa ditawarkan dengan diskaun 20 peratus dari kadar semasa yang akan memberi manfaat kepada golongan yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Related Articles

Back to top button