Selangor bakal laksana segera lima manifesto termasuk naikkan elaun imam
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan pimpinannya akan melaksana segera lima perkara dalam tempoh 100 hari pentadbiranya penggal ini.
Menurut Naib Presiden KEADILAN itu, lima perkara tersebut adalah ikrar Pakatan Harapan-Barisan Nasional dalam manifesto mereka bagi PRN di Selangor baru-baru ini.
Perkara pertama akan dilaksanakan adalah pengecualian cukai pintu bagi rumah kos rendah dan rumah kampung.
Selain itu pentadbiran negeri PH-BN akan menaikkan elaun imam, bilal, siak dan nazir.
Turut akan ditunaikan adalah bantuan wang tunai RM1,000 juga akan diberikan kepada 5,000 wanita bekerja di Selangor bagi membantu mengurangkan kos penjagaan anak.
Seramai 500 petani, pesawah dan nelayan juga akan menerima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM 1,000, manakala 1,000 mahasiswa akan menerima baucar buku bernilai RM200.
“Pentadbiran ini akan memulakan tugas dan amanah dengan segera untuk melaksanakan lima perkara utama dalam tempoh 100 hari pentadbiran ini ditubuhkan,” kata Amirudin.
Sementara itu beliau mengulangi tekad untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang paling berjaya, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di rantau ini.
“Berjaya bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi dengan peluang pekerjaan yang bergaji tinggi.
“Berjaya bukan sahaja dari segi sumbangan KDNK paling tinggi, tetapi menelusuri solusi kepada perubahan iklim, khususnya banjir.” katanya.