ekonomi

Langkah k’jaan tambah peruntukan iTekad beri modal pusingan untuk usahawan PMKS

Langkah Kerajaan Perpaduan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad berupaya membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Akademi Usahawan Mikro (AUM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Azharee Abdul Wahid menjelaskan, langkah tersebut memberi pusingan selain merancakkan aktiviti pemasaran perniagaan yang kemudian dapat meningkatkan promosi dan jualan produk.

“Kebanyakan usahawan dalam akademi ini terdiri daripada perniagaan pembuatan seperti makanan dan mereka memerlukan modal untuk bahan mentah, jadi dengan adanya sedikit modal pusingan, ia boleh bertahan sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

“Selain itu usahawan juga boleh menggunakan peruntukan berkenaan untuk aktiviti pemasaran perniagaan di media sosial contohnya di Shopee dan TikTok.

“Menggunakan platform itu memanglah percuma tetapi hendak mendapatkan data itu perlukan bayaran, jadi sedikit sebanyak geran ini membantu dari sudut tersebut,” katanya dalam satu program di Bernama TV.

Abd Azharee sementara itu berharap dengan penambahan peruntukan tersebut, institusi bank terbabit akan memudahkan proses bagi kelulusan geran itu kepada PMKS khususnya golongan B40.

iTekad adalah program penaung yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.

Pertambahan peruntukan RM6 juta diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2023.

Related Articles

Back to top button