Setiausaha Politik PM ziarah keluarga mangsa nahas N28JV
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi pada Rabu menziarahi keluarga tiga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina minggu lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook,
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di laman Facebooknya malam tadi berkata pertemuan itu adalah untuk menyampaikan sedikit sumbangan beliau kepada keluarga Sharipudin Shaari iaitu pemandu e-hailing serta waris Allahyarham Shahrul Kamal Roslan dan Allahyarham Haikal Aras Abdul Azim, yang masing-masing adalah juruterbang pesawat berkenaan.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut memaklumkan, Ahmad Farhan menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd Zaki (Pegawai Khas kepada Datuk Seri Johari Harun) serta waris Allahyarham Datuk Seri Johari Harun (EXCO Kerajaan Negeri Pahang) dan Allahyarham Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi (juga juruterbang pesawat) pada Selasa.
“Saya amat berharap keluarga mangsa yang terlibat tabah tatkala diuji ujian yang getir dan berat ini.
“Semoga kita semua dapat mendoakan roh mereka diberikan tempat yang terbaik di sisi Yang Maha Esa serta keluarga dikurniakan kekuatan saat ini,” katanya.
Dalam kejadian pada 17 Ogos lalu, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.
Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan.