KBS sasar 100,000 belia sertai Program Sekolah Rukun Negara
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletak sasaran 100,000 belia akan menyertai Program Sekolah Rukun Negara menjelang penghujung tahun ini.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, jumlah itu meningkat dari sasaran asal 60,000 penyertaan yang sudah dicapai kementerian.
“Tahun ini sepatutnya kita letak sasaran 60,000 peserta tetapi memandangkan kita sudah pun mencapai peringkat asas iaitu lebih 30,000 penyertaan, jadi kita ‘step up’ sikit sepanjang tahun ini dengan pastikan mendapat 100,000 peserta,” katanya.
Adam Adli berkata begitu kepada pemberita selepas hadir merasmikan Hari Terbuka, Hari Koperasi dan Mini Karnival Bulan Kebangsaan 2023 di Kolej Vokasional Melaka Tengah ada Rabu.
Program Sekolah Rukun Negara merupakan inisiatif KBS menerusi Rakan Muda itu dilaksanakan menerusi tiga fasa iaitu kursus asas yang diadakan selama sehari, pertengahan (tiga hari dua malam) serta lanjutan (empat hari tiga malam), dengan kursus asasnya boleh diadakan di mana-mana lokasi termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi manakala kursus pertengahan dan lanjutan diadakan di 18 Kem Wawasan Negara di seluruh negara.
Ia bertujuan menyemarakkan kefahaman dan pengetahuan demokrasi terhadap golongan belia.
Menurut Adam Adli program tersebut boleh disertai semua belia secara sukarela, yang akan mendedahkan mereka dengan 12 perkara termasuk berkenaan pilihan raya, kerajaan, media dan Parlimen, sekali gus meningkatkan kefahaman dalam aspek kenegaraan dan perpaduan berteraskan penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.
Program itu juga bakal diperluaskan di negeri-negeri lain seperti Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak selepas program itu berjaya menarik penyertaan belia khususnya dari negeri-negeri yang menghadapi pilihan raya negeri baru-baru ini.