Kerajaan sedia peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf laluan Gerik-Jeli
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf laluan Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik-Jeli.
Beliau berkata, peruntukan itu ialah tambahan peruntukan penyelenggaraan bagi laluan tersebut yang dianggarkan kosnya sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat banyak permohonan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan di seluruh negara dan beliau akan mengkajinya dalam Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan pada Oktober.
“Tapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan,” kata beliau dalam ucapan ketika melancarkan Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Gerik, hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.