Nasional

Belanjawan 2024: Kerajaan akan sedia peruntukan tambahan untuk perumahan polis

Kerajaan Perpaduan akan menyediakan peruntukan tambahan bagi memperbaiki dan menyelenggara perumahan polis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan ditambah menerusi Belanjawan 2024 yang dijangka akan dibentang Oktober ini.

Langkah itu menurut Anwar susulan hanya sekitar 40 ke 60 peratus perumahan polis di seluruh negara selamat diduduki manakala selebihnya berada dalam keadaan uzur.

“Perumahan polis ini saya tidak perlu tanya elok atau tidak, memang saya tahu keadaannya tidak diselenggara sama ada rumah tentera atau polis.

“Insya-Allah, dalam Belanjawan Madani pada Oktober ini, saya akan cuba ikhtiar untuk dapatkan peruntukan tambahan. Peruntukan itu untuk baiki yang asas dahulu, kemudian yang lain-lain itu kita akan beri perhatian,” katanya.

Anwar sebelumnya hadir ke Jamuan Rakyat Perdana Menteri bersama warga dan keluarga Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Ulu Kinta di Dewan Briged Utara PGA di Ipoh pada Khamis.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, peruntukan tambahan itu mampu disediakan berikutan keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin baik sekali gus mendorong banyak pelaburan masuk ke dalam negara.

Katanya, sambil memberi contoh pelaburan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc Elon Musk yang telah bersetuju menubuhkan pejabat Tesla bagi kawasan Asia Tenggara selain pelaburan automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) yang menjadikan Tanjung Malim sebagai pengkalan (pembangunan dan pengkomersilan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV)) selain syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG yang memilih Malaysia dengan pelaburan sekitar RM20 bilion.

“Alhamdulillah, jika tidak ada pelaburan ini, saya tidak mampu umum peruntukan tambahan kerana tiada hasil. Inilah kerangka yang kita harus faham,” katanya.

Related Articles

Back to top button