Semasa

ABIM cadang kerajaan aktifkan semula Jawatankuasa Harmoni tangani ‘salah faham’

Kerajaan dicadangkan supaya mengaktifkan semula Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) yang ditubuhkan tiga tahun lalu.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melalui Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz menyarankan perkara itu susulan susulan “salah faham” melibatkan dasar kerajaan berhubung perbezaan pandangan pemimpin pelbagai kaum dan agama.

Walaupun tidak menyebut secara khusus “salah faham” itu, ia dipercayai merujuk kepada pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah yang mengundang kebimbangan kumpulan bukan Islam.

“Selain dari menjadi medium untuk memupuk keharmonian kaum, Abim ingin mengusulkan agar jawatankuasa ini turut berperanan untuk menjadi platform menjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada pemimpin pelbagai agama agar sebarang salah faham boleh diatasi dengan baik,” katanya dipetik.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menegaskan bahawa modul tersebut hanya akan diajarkan kepada pelajar Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada ucapan dalam satu program di Johor pada Jumaat menjelaskan modul tersebut membawa manfaat besar kerana ia berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, pada masa depan.

Justeru jelas Anwar, masyarakat bukan Islam wajar memahami tujuan sebenar langkah itu diperkenal bagi mengelak salah faham di kalangan mereka.

Sementara itu, Abim berkata salah faham boleh diselesaikan sekiranya wujud platform perbincangan pemimpin antara agama agar penjelasan lanjut dan inklusif dapat dilaksanakan.

Faisal juga berkata, Jawatankuasa tersebut juga harus diberi peranan menjayakan agenda Malaysia Madani dalam konteks keutuhan hubungan antara kaum menerusi penerapan modul dan program lapangan kepada generasi muda.

“Abim juga ingin menggesa agar jawatankuasa sebegini turut diwujudkan di peringkat negeri agar aspirasi kerajaan dalam membina perpaduan rakyat turut disambut dan difahami masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Related Articles

Back to top button