Negeri

‘Segera ke klinik jika terdapat gejala mpox’ – Exco Kerajaan Perak

Seorang Exco Kerajaan Negeri Perak menasihatkan orang ramai di negeri itu supaya segera ke klinik atau hospital berhampiran jika terdapat gejala cacar monyet (mpox).

A. Sivanesan yang merupakan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak membuat gesaan itu susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat dua kes positif jangkitan mpox di negara ini.

Menurut Sivanesa, sesoorang yang dijangkiti mpox kebiasaanya mengalami gejala seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain.

“Penyakit ini berjangkit dan perlu dikuarantin sekiranya positif. Saya harap orang ramai berwaspada dan lakukan saringan kesihatan jika terdapat tanda-tanda yang telah dinyatakan,” katanya.

Beliau sebelumnya bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesihatan Awam yang berlangsung di Aeon Mall Station 18 di Ipoh pada Sabtu.

Sementara itu menurut Sivanesan, sehingga kini, masih tiada sebarang laporan melibatkan penyakit cacar monyet di negeri ini.

Bagaimanapun bagi membendung penyakit itu daripada menular, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak jelasnya telah melaksanakan langkah pencegahan awal melalui pemantauan di semua lokasi berisiko termasuk pintu masuk antarabangsa.

“Pemantauan dilaksanakan terhadap semua individu berisiko termasuk pengembara atau pelancong melalui saringan mpox yang dilakukan di pintu masuk antarabangsa khususnya lapangan terbang,”tambahnya.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan menjelaskan kes mpox disahkan pada 26 Julai membabitkan seorang lelaki warga asing, manakala kes kedua ialah seorang lelaki tempatan yang juga kontak kepada kes mpox pertama serta disahkan positif mpox pada 29 Julai lepas.

Related Articles

Back to top button