Pilihanraya

Sukar untuk gelombang hijau tembusi PRK Pulai, Simpang Jeram – Penganalisis

Gelombang Hijau yang sering kali bermain di bibir mulut pimpinan Perikatan Nasional (PN) diramalkan masih sukar untuk menembusi kubu kuat Umno iaitu negeri Johor.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, kedudukan Kerajaan Perpaduan boleh dikatakan kukuh di negeri itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Bagi saya gelombang (hijau) itu mungkin tidak sampai ke Johor kerana secara tradisinya Johor merupakan tempat lahir Umno dan kubu kuat parti itu. Pada masa sama, kita tahu sokongan masyarakat bukan Melayu kepada Kerajaan Perpaduan yang akan bertanding juga memang kukuh di sana.

“Kita tengok sama juga macam Bersatu sekali pun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor hari itu sukar untuk mereka menang.

“Di kawasan yang bertanding ketika dengan Umno mereka menang, tetapi apabila mereka bertanding sendiri melawan Barisan Nasional (BN), mereka (Bersatu) tidak menang,” katanya memetik laporan Getaran.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Gelombang Hijau dibawa oleh blok PN yang berhasil merapatkan jurang kerusi pada enam PRN 12 Ogos lalu.

Dr Martadha yang juga Timbalan Naib Canselor UUM itu berkata, rakyat Johor majoritinya terdiri daripada pengundi yang tebal dengan semangat dan kesetiaan mereka.

Malah, pengaruh Istana Johor juga dilihat sebagai antara faktor negeri itu mempunyai indentiti yang kuat dan kekal bersama Umno.

“Kita kena tengok dari segi susur galur Umno di Johor, dalam konteks Umno di Johor mereka agak bersatu hati dan kepimpinan Johor pun kita tengok sering berkerjasama dengan istana.

“Suara pengundi Melayu banyak dipengaruhi oleh keimpimpinan Umno negeri yang didukung juga kepimpinan istana,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengaruh istana di Johor amat menebal berbanding negeri lain, apatah lagi keluarga Diraja Johor juga dilihat sangat dekat dengan rakyat jelata.

“Apa juga perubahan yang berlaku di Johor itu seringkali kita lihat ia seiring dengan titah Sultan, (Sultan Ibrahim Iskandar) sebagai contoh, istilah ‘Bangsa Johor’ yang menjadi kebanggaan rakyat negeri itu,” katanya.

Parti gabungan Kerajaan Perpaduan sebelum ini menamakan Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat sebagai calon di Parlimen Pulai manakala Nazri Abdul Rahman diberi mandat menggalas cabaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

PRK Pulai serta Simpang Jeram diadakan susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.

Related Articles

Back to top button