Semasa

TikTok setuju pantau, ambil tindakan terhadap kandungan 3R

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil memaklumkan pengendali aplikasi TikTok telah bersetuju memberi komitmen penuh untuk memantau sebarang kandungan hantaran berkait agama, raja dan kaum (3R).

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Tambah Fahmi, komitmen itu dinyatakan TikTok dalam mesyuarat bersama wakil aplikasi tersebut pada Isnin.

“KKD dan Kerajaan mempertahan hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara.

“Bagaimanapun, kandungan media sosial yang melanggar undang-undang Malaysia tidak boleh dibenarkan, termasuk yang menyentuh isu 3R atau mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

“Melalui perbincangan tadi, TikTok setuju untuk beri komitmen penuh memantau dan mengambil tindakan terhadap kandungan sedemikian dengan lebih efisien, selaras dengan Garis Panduan Komuniti Tiktok itu sendiri,” katanya dalam hantaran melalui aplikasi X (Twitter) .

Mesyuarat diadakan antara wakil syarikat tersebut dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Manoj Kurup, dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Salim Fateh Din.

Mesyuarat tersebut itu turut membincangkan hal kemampanan industri media dalam memastikan ia akan terus kekal relevan.

KKD sebelum ini pernah mengadakan perjumpaan bersama wakil TikTok dan juga MCMC untuk mengutarakan kebimbangan dan impak negatif daripada kandungan berunsur provokatif.

Hasil daripada perbincangan tersebut, pihak TikTok menyatakan hasrat dan komitmen bagi menjalin kerjasama strategik bersama KKD melalui MCMC untuk membendung dan membanteras perkara berkenaan.

Related Articles

Back to top button