Semasa

Fitnah tutup pusat tahfiz: Polis siasat bawah Akta Hasutan

Tiga laporan terhadap kenyataan fitnah berkaitan dakwaan terdapat arahan penutupan 200 pusat tahfiz di negeri Selangor telah diterima pihak polis setakat semalam.

sehingga menimbulkan kebimbangan dalam

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penyebaran fitnah itu telah menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan justeru itu semua laporan diterima akan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

“Ada tiga report (laporan). JSJ BA (Bukit Aman) buka siasatan. Bukit Aman buka (siasatan) daripada laporan di Perak di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948,” katanya .

Terdahulu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal terhadap fitnah dilemparkan kepada pihak berkuasa agama Selangor dan pihak berkuasa tempatan.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menyifatkan tindakan membuat fitnah seperti itu sebagai tindakan amat tidak bertanggungjawab.

“Sesungguhnya fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat beta kesali kerana secara tidak langsung merisaukan para ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di Selangor.

“Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas,” titah Sultan Sharafuddin sempena Mesyuarat MKI Kali Ke-70 pada Isnin.

Sebagai rekod, pihak berkuasa polis sebelum ini sering kali membuat peringatan supaya mana-mana pihak tidak mempermainkan isu sensetif berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri berpandangan isu sensitif seperti itu telah digunakan sehingga ke tahap serius dan telah dibiarkan berlarutan selama berpuluh tahun dan jika dibiarkan ia boleh merosakkan keamanan negara.

Related Articles

Back to top button