Teknologi

KKD lancar Pakej 5G Rahmah, pascabayar Rahmah Penjawat Awam

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada Selasa melancarkan Pakej 5G RAHMAH yang ditawarkan dengan telefon pintar dan pelan data pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Menterinya, Fahmi Fadzil ketika melancarkan pakej itu berkata, melaluinya telefon pintar 5G akan ditawarkan dengan potongan harga lebih 75 peratus berbanding harga pasaran, berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60 gigabait (gb) bersama kontrak langganan pelan pascabayar selama 24 bulan.

“Pakej 5G RAHMAH terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa had pembelian dan ditawarkan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember depan.” katanya.

Antara syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dalam inisiatif terbaharu itu adalah CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia (Unifi Mobile) dan YTL Communications (YES) menawarkan pakej telefon pintar.

Sementara itu Fahmi turut memberitahu kementeriannya turut menjalin kerjasama strategik dengan syarikat pengeluar telefon bimbit Samsung dan Honor bagi menjayakan pakej tersebut.

Ia antara lain akan menawarkan pilihan telefon pintar sama ada jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G yang akan diberi tempoh waranti tambahan keseluruhan 24 bulan sesuai dengan tempoh kontrak.

Bagaimanapun jelasnya dengan spesifikasi asas pelan data (device bundle) diumumkan, pihak telco amat digalakkan menyediakan tawaran yang lebih baik.

“Sebagai contoh telco boleh menyediakan harga telefon pintar yang lebih rendah daripada RM240 atau bayaran bulanan pelan pascabayar yang lebih rendah daripada RM60 atau kuota data yang lebih banyak daripada 60GB sebulan,” katanya.

Pada pelancaran itu, beliau turut mengumumkan insentif pascabayar Rahmah Penjawat Awam melibatkan rebat RM10 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas, yang akan bermula 16 Sept ini.

Insentif itu terbahagi kepada dua kategori iaitu penjawat awam yang baru mendaftar untuk melanggan pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas dengan mana-mana telco terlibat; dan penjawat awam yang sedang melanggan mana-mana pakej pascabayar yang bernilai RM60 dan ke atas dengan mana-mana telco terlibat, dan pakej pascabayar itu tidak terikat dengan kontrak.

Ia terbuka kepada penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan serta tertakluk kepada terma dan syarat daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.

Related Articles

Back to top button