Pelan Induk Baharu bakal dilancarkan, dijangka pacu industri teknologi tinggi negara
Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bakal dilancarkan pada 1 September ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata NIMP 2030 yang akan dilancarkan itu bukan seperti pelan perindustrian yang biasa.
“Ia memberi tumpuan terhadap anjakan supaya tidak hanya memutuskan kepada sesuatu sektor, tetapi ke arah matlamat dan misi menjadikan Malaysia negara industri dengan teknologi tinggi, transformasi digital dan memberi ruang kepada ratusan ribu anak muda dalam bidang pekerjaan baharu.
“Transformasi digital dalam industri bukan sahaja dapat mengembalikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan unggul tetapi akan meningkatkan keupayaan kita,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata begitu semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya semalam.
Tambah Anwar, Malaysia kini telah memperoleh kembali perhatian beberapa syarikat besar seperti Tesla Inc dari Amerika Syarikat, Geely dari China serta Infineon Technologies dari Jerman yang bersetuju menjadikan Malaysia pangkalan pelaburan penting.
“Bagi kita (pelaburan) ini sangat penting kerana kalau ia dapat diteruskan, Malaysia boleh memaknai kemerdekaan, dan setiap anak muda dijamin pekerjaan serta tidak menganggur,” tambahnya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, kerajaan juga akan melaksanakan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sejurus selepas pelancaran NIMP 2030.
“Sekali lagi anjakan berlaku tidak hanya kajian yang menilai perencanaan awal, tetapi membuat pengubahsuaian dan anjakan supaya pembangunan kita mampan,” katanya dipetik.