Global

Malaysia hantar nota bantahan babit Peta Standard China Edisi 2023

Kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara berkenaan di Laut China Selatan seperti yang digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Nota bantahan itu jelas, Zambry berkata tindakan tersebut adalah langkah susulan yang diambil kerajaan dalam isu berkenaan.

“Wisma Putra sudah mengeluarkan kenyataan (semalam) dan amalan kita, kita akan buat nota bantahan itu kerana itu sudah menjadi amalan kita.

“Jadi, berdasarkan kenyataan yang sudah kita buat, kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk menghantar nota bantahan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya, hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam menegaskan, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China dan melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak katanya, sama sekali tidak mengikat Malaysia.

Tegas kenyataan itu lagi, Malaysia kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Related Articles

Back to top button