N9 tunggu SOP berkaitan REE, tak mahu berlaku aktiviti perlombongan tak selamat
Langkah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) untuk memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan perlombongan unsur nadir bumi (REE) disambut baik kerajaan Negeri Sembilan.
Menteri Besar Aminuddin Harun dipetik laporan Bernama berkata, dengan adanya SOP berkaitan, pihak kerajaan kelak akan dapat memastikan aktiviti perlombongan hasil mineral itu dilakukan dengan selamat.
SOP yang akan diperkenalkan juga jelasnya dapat mengelak kecurian dan pembaziran sumber sekaligus memberikan pulangan kepada kerajaan negeri berikutan Negeri Sembilan mempunyai potensi besar dalam membangunkan REE.
“Memang kerajaan negeri sedang menunggu (SOP) sebelum kita membenarkan REE dilombong di Negeri Sembilan…kita tidak ingin mengejar satu hasil baharu (tanpa SOP) tetapi kita kehilangan banyak kelebihan pada negeri.
“Untuk menjadikan ia sebagai antara sumber ekonomi negeri, itu sudah kita kenal pasti sebenarnya sejak tiga tahun yang lepas cuma SOP itu tidak ada. Kita tidak ingin mengumumkan kerana khuatir ada pihak yang mengambil kesempatan dalam perkara ini,” katanya.
Aminuddin sebelumnya ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Negeri Sembilan pada Khamis.
Baru-baru ini, media melaporkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya akan memanggil satu jawatankuasa yang dipengerusikan beliau di bawah Majlis Mineral Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan SOP berkaitan REE.
Beliau pada Jun lalu Nik Nazmi berkata, Malaysia memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion.
Kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati sumber NR-REE negara terdapat di 10 negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Namun sebarang aktiviti perlombongan perlu dikawal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan NR-REE yang dibangunkan kementerian itu.
Tambahnya, SOP yang akan diperkenalkan merangkumi semua perundangan yang sedang berkuat kuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral Negeri, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Selain itu ia juga tertakluk kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh JMG.