Anwar

Selebriti terkenal Indonesia moderator Temu Anwar Jakarta

Pertama kalinya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir program Temu Anwar di Jakarta bagi mendampingi warga Indonesia serta rakyat Malaysia yang berada di negara jiran itu yang akan berlangsung pada 5 September ini.

Menurut catatan di Facebook miliknya, Anwar dijadual akan mengadakan wacana dan diskusi yang akan diadakan di Grand Emerald Ballroom, Redtop Hotel & Convention Centre, Jakarta pada Selasa ini bermula jam 7 malam Waktu Indonesia Barat (WIB) (8 malam waktu Malaysia).

Turut dijangka bersama beliau pada wacana berkenaan ialah pasangan selebriti terkenal Indonesia iaitu Raffi Ahmad dan isteri beliau Nagita Slavina yang bertindak sebagai hos bersama bagi program itu.

“Saya jemput semua, termasuk mahasiswa dan anak muda untuk ikut serta bersama saya dan selebritas terkenal Indonesia saudara Raffi Ahmad dan isteri saudari Nagita Slavina.

“Saya amat berharap dapat bertemu dengan seramai mungkin sahabat dari Indonesia, selain mahasiswa dan rakyat Malaysia di Indonesia,” katanya.

Pendaftaran bagi menyertai program itu boleh dibuat menerusi laman web temuanwar.com.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia bersama Anwar Ibrahim Club (AIC) akan menyelaras program berkenaan dan dijangka ribuan akan hadir termasuk penggiat seni Indonesia, tokoh korporat dan ahli politik negara itu.

Related Articles

Back to top button