Politik

Taklik cerai isteri kerana politik berpunca dari fahaman melampau – Mapim

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyelar tindakan seorang individu yang ingin melafazkan taklik cerai terhadap isterinya sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos

Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, tindakan menggadaikan hubungan keluarga atas perkembangan politik semasa menunjukkan kematangannya yang sangat rendah malah menunjukkan situasi politik di negara ini yang menuju kearah kerosakan parah

“Ini adalah politik ekstrem tahap tinggi, fanatik hingga ke tahap memutuskan hubungan suami isteri menandakan politik di negara ini menuju ke arah kekacauan yang parah,”katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang lelaki pada Februari lalu yang memaklumkan dia bertaklik menceraikan isterinya talak tiga jika Anwar dan kerajaan tidak bertukar pada Ogos sehingga mengundang persoalan ramai sama ada talak itu jatuh atau sebaliknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar baru-baru ini berkata dari sudut hukum, apa-apa pun taklik tidak boleh ditarik balik apabila telah dilafazkan.

Justeru beliau menasihatkan isteri atau suami terbabit untuk memfailkan permohonan di mahkamah bagi mengesahkan penceraian tersebut.

Sementara itu Mohd Azmi berkata, beliau berpandangan tindakan individu tersebut sanggup melafazkan taklik cerai kepada isterinya kerana telah menerima indoktrinasi politik melampau yang menanamkan persepsi di luar kerangka demokrasi yang matang.

“Individu tersebut menjadi mangsa kepada kempen yang agresif, menanam kebencian keterlaluan untuk menjatuhkan kerajaan melalui label dan menggunakan sentimen perkauman serta agama.

“Ternyata kedudukan institusi kekeluargaan dan akad antara suami dan isteri yang sangat suci di sisi Islam kini boleh terlerai hanya kerana fahaman politik yang sangat rendah,” katanya.

Related Articles

Back to top button