K’jaan tak bersikap kuku besi terhadap media
Kerajaan Perpaduan memberi jaminan tidak akan bersikap kuku besi terhadap mana-mana organisasi dan pengamal media seperti yang pernah berlaku ketika pentadbiran terdahulu, jelas Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menegaskan pentadbiran ketika ini akan terus mempertahan hak dan kebebasan media .
“Saya beri jaminan kita tidak akan bersikap kuku besi seperti yang berlaku dalam pentadbiran-pentadbiran sebelum ini. Itu jaminan saya berikan kepada rakan-rakan media.
“Kalau dilihat, sepanjang saya berkhidmat sebagai Menteri KKD, tiada seorang pun wartawan ditahan pihak polis.
“Tidak ada satu akhbar pun yang ditutup seperti pernah berlaku sebelum ini. Sudah pasti ini adalah satu perkara yang kita akan pertahankan,” katanya .
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata begitu ketika ditemui pemberita pada Program Kita MADANI Aspirasi Malaysia 2023 peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Ahad.
Pendirian itu dinyatakan Fahmi sebagai mengulas kritikan pihak tertentu terhadap tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menyekat kandungan yang disiarkan oleh portal berita dan laman dalam talian tertentu.
“Sudah pasti tindakan ini jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilalui oleh rakan-rakan media sebelum ini. Semestinya, saya menggalas dalam tanggungjawab, sebagai menteri, saya turut berpegang prinsip-prinsip itu.
“Tetapi, beberapa elemen seperti fitnah atau pun maklumat yang tidak betul contoh pada PRN baru-baru ini, terdapat media yang sangat tersohor menerbitkan satu berita ada ahli politik yang ditahan polis.
“Terbukti perkara itu palsu. Jadi, perkara-perkata seperti ini harapan saya rakan-rakan media dapat bincang untuk pastikan ia tidak berulang. Kerana dalam kita membuat laporan, penting untuk membuat laporan yang tepat,” katanya.
Sementara itu Fahmi menjelaskan, beliau bersedia bertemu dengan semua pihak untuk meneliti setiap perkara yang dibangkitkan supaya mereka faham mengapa tindakan berlandaskan undang-undang itu dilakukan.
Pihak kementerian juga jelasnya sedang menggubal Akta Majlis Media Malaysia yang diharapkan dapat menyelesaikan dan menambah baik aspek kewartawanan.