Dr Hafidzah saman MB Kelantan, susulan tuduh lawan perjuangan Islam
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dilapor telah menyerahkan tuntutan saman ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau yang juga Ketua Wanita Amanah Negeri Kelantan berkata, tindakan saman itu susulan Mohd Nassuruddin yang juga ADUN Meranti tidak membuat permohonan maaf sebagaimana dituntut berhubung kenyataan yang melabelkan beliau dan ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hasyim sebagai kumpulan yang menentang perjuangan Islam.
“Tempoh tujuh hari sudah berlalu, saya telah menyerahkan perkara ini kepada peguam untuk melaksanakan tindakan seterusnya.
“Kita tunggulah…,” katanya melalui satu sidang media pada Isnin.
Sebelum itu Dr Hafidzah bersama Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor menjayakan Program Komunikasi Tindakan Setempat dan Sambutan Hari Kebangsaan di Pasar Kubang Pasu.
Terdahulu Nassuruddin dalam satu rakaman video yang tular mendakwa kemenangan PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.
Pada kuliah agama di Medan Ilmu, Kota Bharu itu, dia turut menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN sebagai milik pihak yang “menentang perjuangan Islam”.
Kenyataan Massuruddin itu kemudian dikritik bekas ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang menegaskan berlawan dengan Pas dalam pilihan raya bukan bererti melawan perjuangan Islam.
Tegasnya apabila konotasi ‘lawan Islam’ dijadikan asas pertembungan dalam politik, maka pertembungan pilihan raya bukan lagi menjadi saingan tetapi peperangan yang akhirnya membawa kepada perpecahan umat Islam.
Sementara itu, Dr Hafidzah ketika mengulas mengenai tindakan saman itu berkata, beliau bertegas demi menjaga maruah dirinya sendiri dan tidak rela diberi gelaran apa-apa yang tidak benar.
“Kita tak tidak mahu mana-mana pihak mengelirukan rakyat dengan tuduhan yang tidak benar,” katanya.