Uncategorized

PRK Pelangai : calon terbaik wakili kerajaan bakal diumumkan 17 September ini

BARISAN NASIONAL (BN) Pahang bakal mengumumkan nama calon mewakili Kerajaan Perpaduan bagi berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini enam nama sudah disenaraikan bagi dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti dan dijangka akan diumumkan pada 17 September ini.

Walau bagaimanapun jelasnya, senarai itu akan dibawa terlebih dahulu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dibincang dan diputuskan.

“Kita akan tengok siapa yang lebih layak untuk bertanding di kerusi itu. Calon-calon yang ada pastinya berpotensi, berkaliber dan berwibawa serta boleh diterima masyarakat setempat.

“Jadi kita akan pilih yang terbaik daripada terbaik,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penutup Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka, Jerantut dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) UNESCO Tasik Chini Pahang di Hotel Swiss-belhotel di Kuantan pada Selasa.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal pula ditetapkan pada 3 Oktober ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

BN dan PH kini bekerjasama dalam kerajaan sebagai usaha memulihkan dan menstabilkan semula keadaan politik negara yang ‘tempang’ susulan ‘Langkah Sheraton’ pada 24 Februari 2020.

Melalui kerjasama itu, BN dijangka tiada masalah untuk mengekalkan kerusi bagi DUN Pelangai pada PRK yang akan diadakan.

Related Articles

Back to top button