PM Anwar saran ASEAN-AS jalin hubungan ekonomi lebih meluas
ASEAN perlu menjalin hubungan ekonomi lebih mendalam dengan Amerika Syarikat (AS) khususnya dalam perdagangan dan pelaburan serta urus ekonomi yang lebih meluas.
Pandangan itu dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berucap mencelah di sesi Persidangan Kemuncak ASEAN-AS ke-11 di Jakarta pada Rabu sebagai cadangan Malaysia tentang bagaimana hubungan dua hala tersebut dapat diangkat ke peringkat seterusnya.
Selain itu, Anwar berkata, Malaysia berpandangan ASEAN memerlukan sokongan pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih tinggi bagi tujuan membawa industri mikro, kecil, dan sederhana (MSME) ke peringkat global.
“ASEAN perlu menyokong dan memudahcara FDI, meletakkan MSME ke peringkat global, menyokong pertumbuhan hijau untuk kemampanan iklim, serta penggunaan tanah yang optimum untuk keterjaminan makanan,” katanya lagi.
Amerika Syarikat diwakili oleh Naib Presiden Kamala Harris.
Terdahulu dalam ucapannya, Harris berkata, Pentadbiran Biden-Harris 2024 telah memohon dana AS$1.2 bilion bagi tujuan ekonomi, pembangunan, bantuan keselamatan untuk negara-negara ASEAN, selain tambahan AS$90 juta untuk mengadakan libat urus dan mengukuh institusi ASEAN.
Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia menggalakkan perkongsian antara ASEAN dan AS dalam memajukan transformasi digital di rantau ini, memasukkan kesalinghubungan dan keterangkuman infrastruktur digital, 5G, dan juga polisi dan pengaturan data digital.
Perdana Menteri sementara itu turut mengalu-alukan pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-AS dalam menggerakkan Unjuran ASEAN bagi Indo-Pasifik, sempena Persidangan Kemuncak ASEAN ke-43 itu.
Perkongsian tersebut jelasnya amat kritikal, untuk negara ASEAN yang komited melaksanakan prinsip demokratik dan ketelusan.