PM Anwar hadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN ke-43
Selepas mengadakan siri mesyuarat penting, pemimpin ASEAN dan rakan dialognya beristirahat dengan menyaksikan persembahan gilang gemilang dan menikmati hidangan enak pada majlis makan malam gala dihoskan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir mengenakan pakaian batik pada acara tersebut yang diadakan di Hutan Kota di Plataran, Indonesia.
Malam Gala yang diadakan di Senayan Jakarta itu dihadiri lebih 1000 tetamu termasuk isteri para pemimpin ASEAN.
Kesemua pemimpin dan delegasi dipersembahkan dengan tarian tradisional Indoensia selain persembahan bercirikan ASEAN.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, majlis tersebut membolehkan Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha pembinaan komuniti ASEAN.
“Ini peluang untuk kesemua pemimpin ASEAN dan negara rakan kongsi bertemu secara santai dan bertukar pandangan selepas kepadatan acara rasmi yang dihadiri.
“Kendatipun pelbagai tantangan mendampingi ASEAN di peringkat glokal, namun saya percaya dukungan, kedekatan dari hati ke hati, pastinya akan menguatkan jalinan persahabatan yang ada agar terus utuh serta kekal maju bersama-sama,” katanya.
Sidang kemuncak tahun ini yang dipengerusikan oleh Indonesia bertemakan ” ASEAN Matters: Epicentrum of Growth.”
Ditubuhkan pada 1967, kumpulan ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.