KPKT akan ambil pandangan persatuan dalam usaha wujudkan kiosk ubat di PPR
Persatuan Farmasi Malaysia akan dilibatkan dalam penyediaan garis panduan untuk kiosk ubat layan diri di Projek Perumahan Rakyat (PPR), kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT)
Nga Kor Ming berkata pihaknya mengambil maklum pandangan persatuan susulan kebimbangan terhadap risiko keracunan akibat penjualan ubat tanpa kawalan yang dibangkitkan persatuan.
Justeru KPKT juga akan mengundang persatuan berkaitan bagi memberikan pandangan dalam menyediakan garis panduan itu selain akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkara tersebut.
“Kita kerja sebagai satu pasukan, kita akan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, kita akan bincang dengan semua pemegang taruh, termasuk kita akan libatkan persatuan farmasi. Mungkin mereka ada idea baik yang bernas. Kita bersama bina persepsi positif,” katanya pada sidang media di KPKT semalam.
Persatuan Farmasi Malaysia sebelum ini menyatakan kebimbangan mengenai risiko keracunan jika cadangan KPKT mewujudkan mesin ubat layan diri di laksanakan di kawasan perumahan.
Presidennya, Amrahi Buang berkata setiap ubat yang digunakan mempunyai risiko tersendiri jika mempunyai kesan sampingan sekiranya tidak diambil dengan betul.
Susulan itu beliau menggesa kerajaan supaya memantapkan terlebih dahulu garis panduan sebelum langkah tersebut boleh dilaksanakan.
Nga pada bulan lalu berkata, pihaknya terinspirasi daripada bangunan Kementerian Kesihatan yang mempunyai kiosk ubat-ubatan sendiri, dan sekiranya kiosk ubat layan diri diwujudkan di PPR seluruh negara ia diharap akan memudahkan penduduk mendapatkan bekalan ubat dan perubatan semasa kecemasan, khususnya ketika lewat malam.