Dakwaan 5 hadis dikeluarkan dari Modul Penghayatan Hadis tidak benar

Dakwaan yang menuduh Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan lima hadis daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi adalah tidak benar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika bercakap kepada pemberita selepas sesi Town Hall Sinar Harian di Shah Alam pada Jumaat menjelaskan, ketika ini kementerian alam proses memuktamadkan hadis itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak.
“Saya fikir perlu beri ruang kepada kita dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk perhalusi isu ini agar ia berjaya dilaksanakan untuk anak-anak Muslim dan sekolah agama,” katanya mengulas dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM sudah mengeluarkan lima hadis itu.
Mengenai kemungkinan ada di antara hadis itu digugurkan, Fadhlina mengulangi mereka sedang memuktamadkannya.
Modul penghayatan hadis itu dilancarkan Ogos lalu bagi memupuk nilai sabda atau hadis Rasulullah di peringkat sekolah.
Modul itu akan diperkenalkan di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.



