MOT tubuh pasukan khas, siasat ‘JPJandora Papers’

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Difahamkan, ia berhubung dakwaan dibuat saluran Telegram Edisi Siasat berhubung isu pendaftaran nombor plat klasik kenderaan
Menurut Loke, perkara itu dibangkitkannya dalam mesyuarat pasca Jemaah Menteri pada Jumaat susulan pendedahan dokumen dikenali sebagai ‘JPJandora Papers’ itu dan pasukan petugas khas yang akan dianggotai Unit Integriti kementerian itu diamanahkan menyiasat perkara tersebut.
“Selain menyiasat dakwaan, ia juga diamanah untuk mengesyorkan penambahbaikan bagi tujuan memperkasa ketelusan proses pendaftaran nombor plat klasik,” katanya melalui kenyataan.
Terdahulu, Edisi Siasat mendakwa wujud skandal JPJ apabila nombor plat klasik dihidupkan semula dan dijual dengan harga ratusan ribu ringgit, dengan kegiatan itu dikatakan didalangi pegawai JPJ sendiri.
Turut disertakan dokumen 28 muka surat dikenali ‘JPJandora Papers’ yang antara lain memaparkan senarai nombor plat kenderaan klasik yang didakwa dipunggah keluar, didaftarkan hak milik serta termasuk ada yang sudah dijual dengan harga amat lumayan sama ada kepada individu atau syarikat.
Dokumen itu turut memperincikan jumlah nombor yang disenarai berdasarkan tahun iaitu sejak 2007, selain mengikut negeri dengan Selangor, Perak dan Johor antara paling tinggi.
Sementara itu, Loke berkata beliau juga mengarahkan JPJ untuk memperbaiki sistem JPJeBid yang menghadapi kekangan kapasiti pada waktu puncak.



