Pemaju mesti patuh prosedur HDA, elak projek perumahan terbengkalai – KPKT
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih mengesan projek-projek perumahan yang dikategorikan sebagai projek sakit di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, setakat ini Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) memantau 118 projek lewat melibatkan 13,039 unit rumah, 490 projek sakit (79,278 unit rumah) dan 114 projek terbengkalai 24,262 unit rumah).
Setakat ini jelasnya, sebanyak 222 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan sejak Januari hingga 31 Julai lalu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM20.61 bilion meliputi keseluruhan 24,422 unit rumah.
Kesemua projek perumahan yang dipulihkan tersebut jelasnya telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan kini bertukar ke status lancar.
“Sepanjang Julai sahaja, sebanyak 44 projek (3,496 unit) berjaya dipulihkan membabitkan GDV sebanyak RM3.14 bilion,” katanya di Putrajaya.
Sementara itu jelas Akmal, pihak kementerian mendapati masalah tidak patuh kepada penetapan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) antara punca dikenal pasti menyebabkan projek perumahan swasta bermasalah di negara ini.
Katanya, ada pemaju perumahan meletakkan banyak projek perumahan dalam satu akaun HDA sedangkan pihak kementerian menetapkan bahawa pemaju perumahan swasta diwajibkan untuk membuka HDA di institusi perbankan bagi satu projek perumahan sahaja.
“Tujuan akaun ini adalah sebagai simpanan deposit bagi pemaju mendapatkan lesen pemajuan dan pinjaman kewangan untuk pembinaan selain memudahkan pemantauan kesiapan oleh KPKT.
“Masalah timbul apabila satu projek perumahan bermasalah dan ia akan berjangkit kepada projek lain yang berada dalam satu HDA yang sama,” katanya sambil menjelaskan pihaknya mengesan telah berlaku kelemahan dalam penyelarasan dan prosedur pengurusan HDA antara kerajaan, institusi kewangan dan pemaju perumahan sebelum ini.
Justeru tambahnya, pihak kementerian sedang melakukan libat urus dengan institusi perbankan bagi memastikan prosedur pengurusan HDA ini difahami dengan jelas dan dikendalikan lebih telus selepas ini.